Bas elektrik tarikan terbaharu di Kuching
Nickyson Nyambar
Mac 5, 2019 15:00 MYT
Mac 5, 2019 15:00 MYT
Sarawak sebuah negeri yang kaya dengan keunikan dan keindahan flora dan fauna serta tradisi yang diamalkan sejak berkurun lamanya.
Identiti itu bukan sahaja digunakan untuk mempromosi negeri yang dikenali dengan jolokan Bumi Kenyalang, malah ia dijadikan sumber pendapatan rakyat Sarawak sendiri.
Ramai yang menyangka pembangunan di Sarawak agak lambat. Ini termasuk persepsi mengenai sistem pengangkutan yang mungkin tidak secanggih di ibu kota.
Dahulunya, Bumi Kenyalang terutamanya di bandar raya Kuching menggunakan khidmat jenama bas Sarawak Transport Co (STC) yang boleh dinaiki dengan kadar tambang yang murah.
Jenama ini dikenali sebagai ‘legend’ buat rakyat tempatan. Mana tidaknya, perkhidmatan kenderaan yang telah beroperasi sejak era 90an lagi itu pastinya mengembalikan nostalgia buat mereka yang pernah menaiki bas tersebut.
Namun kini, sistem pengangkutan bas Sarawak tampil berwajah baharu. Dengan kebolehannya bergerak tanpa menggunakan enjin juga tanpa asap atau partikel berbahaya, era perkhidmatan bas elektrik mencipta sejarah di Sarawak.
Kuching Metro kini beroperasi secara percuma buat tiga bulan pertama atas dasar percubaan melalui laluan terpilih.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata: “Laluan yang dikenal pasti untuk perjalanan bas ini sangat menarik, merangkumi seluruh kawasan warisan di bandar raya Kuching hinggalah ke iCom Square dan Satok.”
Keselesaan penumpang menjadi keutamaan. Selain kurang gegaran, bas ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri wifi percuma, kamera litar tertutup (CCTV), sistem kawasan kandungan penyiaran, video kiraan penumpang, dan Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS).
Aplikasi Kuching Metro turut tersedia bagi kemudahan pengguna iOS dan Android.
Tambahan seperti ini pasti menyemarakkan lagi pembangunan di Sarawak, lebih-lebih lagi apabila tahun ini diumum sebagai Tahun Melawat Sarawak dengan tema "Sarawak More to Discover."
#Abdul Karim Rahman Hamzah
#bas elektrik
#bas Sarawak
#Bumi Kenyalang
#CCTV
#Kuching
#Kuching Metro
#Sarawak More to Discover
#Sarawak Transport Co
#sistem pengangkutan bas
#STC