Bas ekspres terbakar, rombongan sekolah terselamat
Abd Razak Mohd Ali
September 25, 2019 09:55 MYT
September 25, 2019 09:55 MYT
Seramai 30 pelajar dan sembilan guru terselamat apabila bas ekspres yang membawa mereka terbakar di puncak Banjaran Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian itu, kesemua mereka bersama dua pemandu bas terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, bas berkenaan yang membawa rombongan dari Besut, Terengganu, dalam perjalanan ke Langkawi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 1.22 pagi.
"Setibanya anggota di lokasi kejadian, bas berkenaan sedang terbakar hampir 70 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, anggota bomba segera melakukan operasi pemadaman dan berjaya memadamkan kebakaran yang memusnahkan kira-kira 80 peratus bahagian bas tersebut.
Operasi tamat pada pukul 3.39 pagi.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
#Banjaran Titiwangsa
#bas ekspres
#Besut
#bomba
#Gerik
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#Jalan Raya Timur Barat
#JBPM Perak
#kebakaran
#kemalangan
#Langkawi
#pelajar
#sekolah
#selamat