Bas ekspres terbabas, kanak-kanak maut, 6 cedera parah

Bernama
Jun 20, 2013 19:25 MYT
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut, manakala enam lagi cedera parah apabila sebuah bas ekspres terbabas dan terbalik di Km 364 Jalan Raub-Bentong, dekat Raub, awal hari ini.
Dalam kejadian 4.30 pagi itu, bas ekspress yang dinaiki 19 penumpang itu dalam perjalanan dari Kota Baharu, Kelantan ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Samsuddin Wan Wan Osman berkata kanak-kanak lelaki berkenaan, Muhammad Busam Suhaiming mati ketika dirawat di Hospital Raub akibat cedera parah di kepala dan badan.
"Enam lagi cedera parah termasuk pemandu kedua bas berkenaan berumur 53 tahun," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Dalam kejadian itu bas berkenaan dipandu seorang lagi pemandu berusia 40an, dan dipercayai pemandu berkenaan mengantuk menyebabkan bas berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di laluan bertentangan.
Dalam kejadian itu, enam lagi penumpang bas berkenaan turut cedera ringan.
"Mereka yang cedera parah kini dirawat di Hospital Temerloh (tiga mangsa), dan tiga lagi di Hospital Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata mangsa yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Raub.
"Pihak polis telah melakukan ujian air kencing, ujian darah dan ujian alkohol ke atas pemandu terbabit," katanya.
Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#bas ekspres #kemalangan #Pahang #Raub
;