Bas ekspres terbabas di Bachok, 10 cedera

Wanna Abd Rahim
Jun 20, 2022 18:27 MYT
Bas ekspres itu hilang kawalan sejurus melalui satu selekoh di Kampung Bator, kemudiannya terbabas lalu terbalik di tepi jalan. - Foto Astro AWANI
BACHOK: Sepuluh penumpang cedera apabila sebuah bas ekspres dinaiki terbabas sebelum terbalik di selekoh Kampung Bator, di sini, jam 5.30 pagi tadi.
Kejadian itu berlaku sewaktu bas ekspres itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Jelawat, di sini.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kejadian yang berlaku melibatkan bas ekspres yang tiba-tiba telah hilang kawalan sejurus selepas melalui satu selekoh di Kampung Bator, kemudiannya terbabas lalu terbalik di tepi jalan.
"Seramai sepuluh orang penumpang yang berada di dalam bas terbabit. Kesemua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya melibatkan kecederaan ringan. Bagaimanapun, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, proses mengalih dan mengangkat bas tersebut telah berjaya dan diselesaikan oleh pihak pengurusan bas ekspres terbabit sekitar jam 11 pagi tadi.
#bas ekspres #kemalangan #Bachok #Kelantan
;