Bas ekspres jatuh gaung elak langgar lori

Astro Awani
Januari 2, 2018 19:00 MYT
Bas ekspres dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur terbabas lalu terjunam ke gaung selepas cuba mengelak lori di KM 26.4 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Kulai. - Gambar ihsan JBPM
Seramai 25 penumpang termasuk pemandu bas berdepan detik mencemaskan apabila bas ekspres yang mereka naiki terbabas lalu masuk ke dalam gaung di Kilometer 26.4 Lebuh Raya Utara Selatan, dekat Kulai pada Selasa.
Dalam kejadian melibatkan dua buah kenderaan itu kira-kira pukul 1 petang, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku apabila bas ekspres terbabit hilang kawalan selepas cuba mengelak sebuah lori yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar dua buah kereta.
Kata beliau, bas itu dalam perjalanan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur dari Terminal Bas Larkin, Johor.
"Dua mangsa cedera ringan iaitu pemandu kedua bas ekspres dan seorang pemandu sebuah kereta yang terlibat kemalangan.
"Manakala penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Selasa.
Tambah Dzulkhairi, penumpang bas yang terlibat terdiri daripada 11 warga tempatan, lima (Indonesia), dua (Singapura), seorang (Myanmar) manakala yang lain belum dikenal pasti identiti mereka.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Sekysen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#bas ekspres #gaung #jatuh #Johor #Ketua Polis Daerah Kulai #Kulai #Lebuh Raya Utara Selatan #Superintendan Dzulkhairi Mukhtar
;