Bas dari Thailand dibenar masuk Malaysia, perlu permit APAD - Anthony Loke
Bernama
Mei 13, 2024 14:10 MYT
Mei 13, 2024 14:10 MYT
KOTA BHARU: Bas dari Thailand dibenarkan masuk ke Malaysia tetapi perlu membuat permohonan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) terlebih dahulu dan permit sementara akan dikeluarkan kepada pemohon tersebut.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata bagaimanapun syarikat bas berkenaan perlu mengemukakan maklumat lengkap seperti pakej pelancongan yang diambil, bilangan penumpang dan lokasi penginapan.
"Peraturan ini terpakai kepada semua negeri termasuk Kuala Lumpur, bukannya negeri sempadan semata-mata seperti di Kedah dan Kelantan.
"Perkara ini sudah diputuskan menerusi mesyuarat baru-baru ini cuma yang kita sekat adalah van dari Thailand kerana dibimbangi mereka masuk ke Malaysia dan akan mengambil penumpang di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin.
Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan negeri Kelantan telah memohon kelonggaran permit bas pelancong dari Thailand dengan Kementerian Pengangkutan untuk kemasukan kenderaan itu ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.
-- BERNAMA