Bas bawa pekerja kilang terbalik dekat Tapah

Bernama
November 4, 2019 12:21 MYT
Bas dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik di KM 315 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, hari ini. - Foto PDRM
Empat belas pekerja kilang warga asing cedera ringan selepas bas dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik di KM 315 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata dalam kejadian pada pukul 5.10 pagi, bas itu yang membawa 30 pekerja kilang dari Pulang Pinang sedang dalam perjalanan ke Genting Highlands dipercayai telah hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan sebelum terbalik di bahu jalan sebelah kiri.
Katanya, kesemua mangsa terdiri daripada 12 orang warga Indonesia dan dua warga Nepal berumur antara 21 hingga 42 tahun, dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan.
"Pemandu bas yang berumur 34 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA
#Azharuddin Wan Ismail #bas #cedera #Genting Highlands #Hospital #Indonesia #Ketua Polis Daerah Tapah #mangsa #Nepal #pekerja kilang #Tapah #warga asing
;