Bas bawa lapan penumpang musnah terbakar

Astro Awani
Oktober 1, 2023 13:45 MYT
Bas tersebut dipercayai membawa lapan penumpang ketika kejadian dan semua mereka sempat menyelamatkan diri. - Gambar/ JBPM
PETALING JAYA: Lapan penumpang cemas apabila bas dinaiki mereka terbakar di Jalan Tandang di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 11.17 pagi.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Pencala dengan kekuatan seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan seterusnya menjalankan kerja memadamkan kebakaran.
"Kejadian melibatkan sebuah bas yang mengalami kebakaran sebanyak 90 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, bas tersebut dipercayai membawa lapan penumpang ketika kejadian dan semua mereka sempat menyelamatkan diri.
"Pemandu bas bersama lapan penumpang berjaya keluar daripada bas tersebut untuk menyelamatkan diri.
"Kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa," katanya.
Menurutnya, setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan.
#bas terbakar #Rapid Bus #Petaling Jaya #bomba
;