Bas bawa 64 sukarelawan pascabanjir terbabas
Bernama
Januari 29, 2024 18:33 MYT
Januari 29, 2024 18:33 MYT
DUNGUN: Sebanyak 64 penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato' Razali Ismail, Batu Rakit, menempuh detik cemas apabila bas yang dinaiki terbabas di Kampung Jongok Batu, di sini kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
Bagaimanapun, kesemua sukarelawan itu yang sedang dalam perjalanan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan pascabanjir di Hulu Dungun, selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi Ghazali Sulaiman berkata pemandu bas berkenaan difahamkan menggunakan jalan alternatif yang sempit dan lazimnya digunakan penduduk kampung untuk ke ladang setelah disaran oleh aplikasi navigasi.
"Bas itu tiba-tiba hilang kawalan disebabkan laluan yang licin akibat lumpur kesan daripada banjir hingga ia terbabas ke bahu jalan dan nyaris terbalik.
"Keadaan itu memaksa kesemua penumpang keluar melalui pintu kecemasan dan pintu pemandu," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata sukarelawan IPG itu telah berada di sekitar Hulu Dungun sejak semalam bagi membantu kerja-kerja pembersihan pascabanjir.
-- BERNAMA
#penuntut Institut Pendidikan Guru
#bas terbabas
#IPG Kampus Dato' Razali Ismail'
#Kampung Jongok Batu