Bas bawa 44 pekerja kilang terima vaksin COVID-19 terbakar

Bernama
Disember 12, 2021 19:13 MYT
Seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Seremban dan Seri Menanti dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran. - Gambar/ Sinar Harian
SEREMBAN: Seramai 44 pekerja kilang yang baru selesai menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dan seorang pemandu bas berdepan detik cemas selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbakar di Jalan Bukit Putus di sini, tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kesemua penumpang yang juga pekerja kilang kayu di Simpang Pertang itu baru selesai vaksinasi dos penggalak COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Program Imunisasi COVID-19 Awam-Swasta (PIKAS) D'Catteya, Senawang.
"Kejadian itu berlaku kira-kira 12 tengah hari tadi. Bas berkenaan musnah seratus peratus, bagaimanapun kesemua penumpang dan pemandu selamat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya 16 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Seremban dan Seri Menanti dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat, katanya.
-- BERNAMA
#bas terbakar #vaksin COVID-19 #pekerja kilang #Bukit Putus
;