Bas bawa 31 pelajar universiti terbabas ke dalam cerun 30 meter
Aida Aziz
Februari 29, 2020 23:17 MYT
Februari 29, 2020 23:17 MYT
Sejumlah 31 orang pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM) berhadapan detik cemas setelah bas yang dinaiki mereka dipercayai terbabas ke dalam cerun sedalam 30 meter berhampiran Rancangan Penempatan Semula Legap, Kuala Mu, di sini pada Sabtu.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, bas yang membawa 33 orang termasuk dua pemandu itu dipercayai terbabas akibat masalah brek.
Akibat kemalangan itu, seorang pelajar lelaki cedera, manakala 30 orang pelajar dan dua orang pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pihak kami menerima panggilan pada jam 6.20 petang berhubung kejadian itu sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput bergegas ke lokasi kemalangan.
"Kesemua mangsa telah keluar dengan sendirinya sebelum pihak bomba tiba di lokasi, mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sungai Siput dengan ambulans untuk rawatan susulan," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, anggota bomba turut membuat pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa lain yang terperangkap di dalam bas.
Kes tersebut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Mohd Hamidi Manas itu tamat pada jam 8.20 malam.