Bas bawa 30 murid sekolah terbabas masuk semak

Adam Darwish
Oktober 31, 2022 19:00 MYT
Siasatan awal mendapati pemandu gagal mengawal kenderaan selepas stereng dikatakan gagal berfungsi kira-kira jam 6.15 pagi sebelum terbabas ke dalam semak. - Gambar/ Astro AWANI
KOTA BHARU: Sebuah bas yang membawa 10 guru dan 30 murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun terbabas di Kilometer (KM) 44 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata tiada kemalangan jiwa dalam kejadian tersebut namun kesemua guru dan murid mengalami cedera ringan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu gagal mengawal kenderaan selepas stereng bas dikatakan gagal berfungsi kira-kira jam 6.15 pagi sebelum terbabas ke dalam semak berdekatan sebuah ladang kelapa sawit.
Katanya kesemua guru dan murid adalah dari Sekolah Islam Integrasi Ikhwan Gong Kulim, Pasir Puteh, yang dalam perjalanan pulang selepas lawatan ke Zoo Negara.
"Kesemua mangsa telah dibawa ke Klinik Chiku 3 untuk menerima rawatan awal.
"Kes disiasat dibawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
#bas terbabas #Kelantan #murid sekolah #Kota Bharu
;