Baru pulang umrah, warga emas tabah hadapi banjir
Bernama
Mac 1, 2023 17:52 MYT
Mac 1, 2023 17:52 MYT
PASIR GUDANG: Seorang warga emas yang baru dua minggu pulang daripada mengerjakan ibadah umrah, mengalami detik cemas apabila air naik dengan cepat di kediamannya di Kampung Sentosa Damai, Masai, di sini, sejak Isnin.
Selamah Selamat, 64, berkata musibah itu merupakan yang pertama tahun ini, selepas pernah mengalami banjir teruk di kawasan itu, dua tahun lepas.
Selamah yang baru pulang daripada menunaikan umrah pada 17 Feb lepas berkata dia dan keluarga sempat mengalihkan barangan termasuk perkakas elektrik, dokumen penting dan cenderahati yang dibeli untuk sanak saudara dan rakan-rakan, ke tempat yang lebih tinggi.
"Sejak dua hari lepas (Isnin) hujan tidak reda, saya melihat parit di luar kawasan rumah sudah penuh dengan air dan apabila saya ke bilik air, air sudah mula masuk menerusi salur air dengan cepat dan tidak sempat nak tutup lubang-lubang di bilik air.
"Lebih cemas apabila mendengar bunyi seperti letup-letup di bahagian bawah rumah kerana pecah akibat dimasuki air. Bilik tidur pula sudah dinaiki sehingga ke paras dua kaki (0.6 meter)," katanya kepada pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, di sini, hari ini.
Selamah berkata dia dan keluarga yang berpindah ke PPS itu sejak semalam, telah dinasihatkan oleh pihak berkuasa untuk menunggu beberapa hari di situ berikutan paras air Sungai Kong Kong masih tinggi dan hujan masih renyai.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rahmat Hamid, 37, dari Kampung Cahaya Baru, Masai di sini berkata dia juga mengalami keadaan sama apabila terpaksa menghuni di PPS berkenaan selepas rumahnya dinaiki air sejak Isnin.
"Pada 2021, pernah jadi banjir seperti ini. Sebelum berpindah ke PPS semalam, saya sempat pindahkan tiga ekor kucing ke tempat yang lebih tinggi apabila melihat air naik dengan cepat di kawasan rumah dan menyediakan makanan untuk haiwan itu.
"Saya berharap pihak berwajib dapat tangani masalah banjir di kawasan ini dengan segera kerana apabila berlaku keadaan sebegini, menyukarkan saya untuk pergi bekerja," katanya yang bekerja sendiri itu.
-- BERNAMA