Baru nak jadi 'content creator'? Meta boleh bantu anda
Hilal Azmi
Mac 10, 2023 19:30 MYT
Mac 10, 2023 19:30 MYT
RAMAI yang mahu menjadikan bidang penciptaan kandungan sebagai kerjaya.
Tidak hairanlah dapatan tinjauan pada 2022 yang dilaksanakan Edelman Data & Intelligence untuk Adobe mendapati terdapat lebih 300 juta pencipta kandungan di seluruh dunia.
Menyedari keperluan itu, Meta mengambil inisiatif membantu pencipta kandungan di Malaysia melalui pelancaran Meta Creator Academy.
Program ini turut mendapat sokongan penuh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam usaha menyediakan peluang baharu buat para pencipta kandungan mempertingkatkan kemahiran serta membina kerjaya di Facebook dan Instagram.
Menurut Ketua Pegawai Pelaburan Digital MDEC, Raymond Siva, kerjasama bersama Meta merupakan susulan daripada inisiatif yang telah digerakkan sebelum ini bagi merancakkan janaan ekonomi digital melalui penciptaan kandungan.
“Sektor ekonomi informal sangat penting ketika ini, dan MDEC akan terus menyokong inisiatif yang memupuk peluang digital agar ekonomi gig semakin makmur,” katanya.
Bagi Philip Chua, Pengarah Dasar Awam Instagram Asia Pasifik, Meta Creator Academy beriltizam untuk mengangkat martabat pencipta kandungan Malaysia untuk pasaran global.
Katanya lagi, akademi yang diwujudkan ini tidak tertakluk kepada golongan muda semata-mata, tetapi terbuka kepada sesiapa yang mahu menambah ilmu dan pengetahuan dalam mencipta kandungan yang memberikan inspirasi serta berkualiti.
Tiada bidang khusus yang diperlukan, malahan lebih terbuka kepada pelbagai genre termasuk makanan, pakaian, gaya hidup, muzik dan format baharu seperti realiti terimbuh (AR) serta barangan koleksi digital.
Meta juga akan mengambil langkah tambahan untuk memanfaatkan sumber tempatan, amalan terbaik dan juga informasi terkini secara dalam atau luar talian agar lebih ramai pencipta kandungan mendapat manfaat.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif ini, ikuti laman Facebook rasmi Meta Malaysia.