Baru dua hari hantar ke taska, bayi dua bulan maut

Afiezy Azaman
Oktober 14, 2023 13:11 MYT
Faizul Ali memangku jenazah anaknya yang disahkan meninggal dunia. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia dua bulan maut dipercayai ketika berada di bawah jagaan pengasuh di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selasa lalu.
Difahamkan, kejadian itu menimpa Qaseh Aulia Faizul, pada hari kedua dia dihantar ke taska berkenaan.
Menurut bapa mangsa, Faizul Ali Adam, pada hari kejadian, dia menerima panggilan daripada pihak taska memberitahu Aulia tidak sedarkan diri dengan muka pucat kebiruan dan dibawa ke sebuah hospital di Kota Damansara.
Dia kemudian segera ke hospital berkenaan, namun dimaklumkan anaknya sudah meninggal dunia.
"Pihak hospital mengesahkan Aulia sudah meninggal dunia dan kemudian dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya.
"Pada Rabu (11 Oktober), proses bedah siasat dilakukan dan hasil bedah siasat belum dapat dikeluarkan kerana perlu menunggu keputusan analisis makmal.
"Namun pegawai perubatan menjelaskan, punca kematian berkemungkinan besar disebabkan oleh kegagalan pernafasan," dakwanya kepada Astro AWANI, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Faizul mendakwa, dia telah melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska itu dan mendapati ada unsur kecuaian pengasuh dipercayai warga asing di premis berkenaan ketika menjaga anaknya yang dalam keadaan berbedung.
Berikutan itu, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
"Sesungguhnya kami reda akan pemergian bayi syurga ini, namun berasa kesal dan terkilan dengan cara pengendalian pengasuh.
"Pastinya, hasrat kami begitu besar, untuk memberi pengajaran dan dan kesedaran kepada pengasuh mahupun ibu bapa di luar sana untuk memastikan tahap keselamatan bayi atau kanak-kanak di tahap optimum," katanya.
Faizul dan keluarganya turut memohon kepada masyarakat untuk membantu menyebarkan berita kematian bayinya dengan harapan ia dapat memberi kesedaran kepada masyarakat.
"Bersama-sama kita meningkatkan tahap kesedaran dan membina masyarakat yang mengutamakan keselamatan bayi mahupun kanak-kanak," katanya.
Astro AWANI sedang mendapatkan kenyataan rasmi polis berhubung kejadian itu.
#bayi perempuan maut #pengasuh cuai #taska #Qaseh Aulia
;