Baru Bian puas hati Pan Borneo di Sarawak ikut jadual
Bernama
Ogos 4, 2018 05:00 MYT
Ogos 4, 2018 05:00 MYT
Menteri Kerja Raya Baru Bian berpuas hati dengan perkembangan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak yang berjalan lancar dan mendahului jadual.
Katanya beliau dimaklumkan setakat 25 Mei lalu, peratusan siap projek di bahagian Sarawak adalah sekitar 22 peratus, iaitu dua peratus melebihi sasaran yang ditetapkan berbanding di Sabah yang mengalami kelewatan satu hingga 36 peratus di sesetengah sektor.
"Diharapkan perkembangan ini dapat diteruskan," katanya kepada pemberita pemberita di Lapangan Terbang Sibu sejurus tiba dari Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Baru berkata beliau gembira kerana berkesempatan turun padang dan melawat sendiri projek berkenaan.
"Ini adalah satu projek yang telah diberi maklumat lanjut dalam persidangan Parlimen kali ini. Saya pun nak tengok perkembangan projek ini. Oleh sebab itu saya datang ke sini," katanya.
Sementara itu, ketika melawat Rumah Nyawin Anak Judy di Tamin dekat sini, Baru berkata kementeriannya bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak bagi menyediakan kemudahan jalan kampung di pedalaman negeri itu.
"Di Sarawak terdapat 36,000 kilometer jalan raya tetapi hanya 1,000 km lebih sahaja di bawah bidang kuasa saya. Yang lainnya di bawah kuasa kerajaan negeri atau Kementerian Pembangunan Luar Bandar," katanya.
Pada masa sama Baru yang juga Anggota Parlimen Selangau berkata kerajaan pusat akan berusaha membawa pembangunan kepada rakyat meskipun berdepan kekangan kewangan.
Bagaimanapun katanya keutamaan akan diberi kepada pembangunan yang kritikal dan mendesak seperti bekalan air bersih, pembangunan sekolah, klinik dan jalan raya yang dapat memberi impak langsung kepada rakyat seperti di Sarawak.
Selain ke Rumah Nyawin, Baru turut melawat Pusat Gerakan Kawasan Rukun Tetangga Sekuau sebelum ke Rumah Lawrence Radin di Pasai Bon di Sibu.
-- BERNAMA