Baru bersih rumah, risau pindah sekali lagi
Sinar Harian
Januari 5, 2022 11:52 MYT
Januari 5, 2022 11:52 MYT
RANTAU PANJANG: Cuaca mendung dan berangin ketika ini membuatkan penduduk di beberapa buah kampung di sini kembali dihantui masalah banjir 'termenung' walaupun rata-rata mereka baru selesai membersihkan kawasan rumah yang ditenggelami bah baru-baru ini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati Kampung Tersang, Lachang dan Gual Tok Deh kembali digenangi 'banjir termenung' sejak Ahad.
Meskipun tiada hujan, namun air tetap masuk ke kawasan penempatan penduduk sehingga menyebabkan berlakunya banjir 'termenung' yang didakwa berpunca dari projek tebatan banjir Sungai Lemal-Lanchang di bawah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok-Kesban yang masih belum siap sepenuhnya.
Ia diakui sendiri seorang penduduk dari Kampung Gual Tok Deh, Abdullah Awang Noh, 63, yang buntu memikirkan situasi itu.
"Tiada hujan tapi air tetap naik. Jika situasi ini berterusan mungkin kami perlu berpindah sekali lagi," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Menurutnya, sejak November dan Disember lalu, sudah empat kali mereka berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, bukan itu sahaja malah banjir yang melanda pada 18 Disember lalu itu juga disifatkan sebagai yang terburuk sejak menetap di kampung tersebut.
Seorang penduduk Kampung Tersang, Mohd Sakeri Che Wil, 43, berkata, sudah dua minggu kawasan rumahnya ditenggelami banjir termenung.
Mohd Sakeri menggunakan bot sebagai pengangkutan utama dalam urusan harian untuk membeli makanan dan keperluan lain.
"Situasi air ketika ini masih bertahan. Jadi kami terpaksa menggunakan bot sebagai pengangkutan utama dalam urusan harian untuk membeli makanan dan keperluan lain.
"Walaupun agak rumit, namun itu sahaja pilihan yang ada. Mahu atau tidak kami perlu bersabar dan tabah mengharungi ujian ini dengan hati terbuka," ujarnya.
Sementara itu, Junaidah Awang Senik, 58, mengakui masih banyak pakaian yang ditenggelami banjir sebelum ini belum dicuci.
Katanya, paras air yang kembali naik di kawasan rumahnya membuatkan dia kembali trauma memikirkan nasibnya selepas ini.
"Banjir yang melanda pada 18 Disember lalu amat menggerunkan saya dan keluarga.
"Hal ini kerana buat kali pertama dalam sejarah air mencecah masuk ke dalam rumah. Sebelum ini air hanya berada di bawah rumah sahaja," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.