Baru beberapa jam ... isu 'ekstremis dan rasis' pula hangatkan Dewan Rakyat
Astro Awani
Februari 16, 2023 15:24 MYT
Februari 16, 2023 15:24 MYT
KUALA LUMPUR: Baru sahaja beberapa jam Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor menegur Ahli Parlimen agar menjaga adab dan etika, Dewan Rakyat kembali kecoh dengan isu 'ekstremis' dan 'rasis'.
Ia tercetus apabila Datuk Che Mohamad Zulkifly (PN-Besut) dilihat tidak berpuas hati dengan istilah itu yang digunakan Lim Guan Eng (PH-Bagan) ketika membahaskan Titah Diraja, pada Khamis.
Di tengah-tengah kekecohan itu, beberapa Ahli Parlimen dari blok Kerajaan bangkit mencelah dan menyifatkan Che Mohamad sengaja menjadikan ia sebagai satu isu, sedangkan terdapat bukti penggunaan istilah berkenaan melalui sebuah video yang tersebar, sebelum ini.
Sebelum itu, Guan Eng ketika perbahasan memaklumkan menjana pertumbuhan ekonomi, mengurangkan kos sara hidup, menjelmakan peluang pekerjaan yang adil antara penawar kepada 'racun ekstremis' dan 'rasis' yang amat berbahaya dan kini diamalkan penceramah hebat, tetapi langsung tidak prihatin atau jahil perihal ekonomi.
"Rukun Negara yang memupuk semangat muhibah dan ekonomi serta saling menghormati antara kaum harus diberikan penekanan dan jangan sesekali ada ucapan menghasut atau menyalahkan kaum bukan Islam sebagai punca rasuah di Malaysia, apabila rasuah tidak mengenal warna kulit," katanya.
Namun, suasana bertukar kecoh apabila bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyentuh mengenai ancaman sembelih (terhadap golongan bukan Islam) yang didakwanya semata-mata kerana melawan parti politik dan bukannya agama Islam.
Ahli Parlimen Besut ketika mencelah ucapan Guan Eng mendakwa Ahli Parlimen Bagan itu cuba mengelirukan Dewan sambil merujuk Aturan mesyuarat di bawah perkara 36(12), dengan alasan ucapan itu seolah-olah menggambarkan orang Islam akan benar-benar menyembelih bukan Islam dan ia tidak benar sama sekali.
Ketika itu beberapa Ahli Parlimen kerajaan mencelah mengatakan ada bukti video mengenai ucapan dimaksudkan Ahli Parlimen Bagan itu.
Sejurus itu, bagi menenangkan keadaan, Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong meminta semua ahli Yang Berhormat yang bangkit untuk duduk dan bertenang.
Guan Eng yang diberi laluan meneruskan perbahasan kemudian menyatakan ada bukti video mengenai kenyataan berkaitan sembelih itu dan laporan polis mengenainya pun sudah buat.
"Saya harap polis boleh ambil tindakan terhadap ucapan seperti ini," katanya.
Che Mohamad yang masih tidak berpuas hati terus bangkit sambil menjelaskan mengenai perbezaan antara kafir harbi dan kafir zimmi sambil mendakwa Guan Eng keliru dengan tafsiran kedua-duanya.
Sebelum ini, seorang pelakon dilaporkan memohon maaf susulan kenyataannya yang mahu 'menyembelih' orang bukan islam dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November, tahun lalu.