Baru 24 jam dapat gaji, wang lesap dilabur
Astro Awani
Disember 24, 2017 12:00 MYT
Disember 24, 2017 12:00 MYT
Tidak sampai 24 jam menerima gaji, hasil keringat seakan-akan lesap selepas ‘dilaburkan’ pada tikar judi bola golek.
Perkara itu adalah tabiat tahi judi warga asing apabila penganjur permainan muncul di kawasan tapak pembinaan mereka di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor.
Bagaimanapun, aktiviti itu terbantut apabila sepasukan polis yang diketuai Pegawai Turus Bahagian D7 (kongsi gelap, judi dan maksiat), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, DSP Norhizam Bahaman menyerbu kawasan tapak pembinaan itu malam tadi.
Sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak polis, kesemua tahi judi lari bertempiaran ke ceruk belukar hingga ada yang sanggup meredah parit tetapi berjaya ditahan.
Norhizam berkata, tiga penganjur rakyat tempatan dan lima warga Bangladesh dan Indonesia ditahan selain merampas beberapa peralatan perjudian.
Difahamkan penganjur perjudian itu sering datang dua bulan sekali di kawasan tersebut atau rumah kongsi bagi mengaut keuntungan.
Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Judi Rumah Terbuka 1953.
Sementara itu, seorang salah seorang penganjur yang ditemubual polis memberitahu, mereka akan datang ke kawasan tapak pembinaan itu pada hujung bulan ketika gaji telah dikreditkan.
Katanya, ini bagi membolehkan tahi-tahi judi melempiaskan ‘hobi’ mereka berjudi.
“Biasa pukul 8 pada hari gaji masuk, kami akan datang dan aktiviti perjudian hanya dilakukan pada malam.
“Kami (penganjur) baru sebulan lebih masuk kawasan ini,” katanya.