Barisan hadapan sebak, menangis, dan merayu dalam siaran langsung

Faris Danial Razi
April 9, 2020 21:09 MYT
Noor Hamiza Gulam, seorang juruteknologi di makmal perubatan itu menitiskan air mata apabila mengenang nasib yang terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga. - Astro AWANI
“DUDUK di rumah, tolong ikut arahan kerajaan. Jangan keluar... penjarakan sosial itu sangat penting sebab itulah kita terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
“Kami berkorban jiwa dan masa untuk keluarga kami demi anda semua. Jadi anda semua tolonglah kami, kita jaga kita, duduk di rumah, dan kita lawan COVID-19."
Itu antara luahan petugas barisan hadapan di Makmal Diagnostik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM) ketika bersiaran langsung dalam program berita AWANI 7:45.
Noor Hamiza Gulam, seorang juruteknologi di makmal perubatan itu menitiskan air mata apabila mengenang nasib yang terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga.
Beliau diberi 'tanggungjawab' dan keizinan khas untuk bersiaran secara langsung bagi menunjukkan kepada penonton tentang emosi dan situasi yang mereka hadapi setiap hari ditempat kerja, sejak menularnya wabak koronavirus di negara ini.
Menurut Noor Hamiza, tiada apa lagi yang diinginkan oleh pihaknya, selain mengharapkan orang ramai agar duduk di rumah supaya setiap insan dapat kembali menjalani kehidupan bersama yang tersayang seperti hari-hari biasa.
Tidak cukupkah realiti risiko penularan wabak koronavirus ini untuk menjentik rasa bimbang dan sedar dalam kalangan masyarakat negara ini?
Ketika segelintir daripada kita masih ingkar pada perintah itu, cuba mencabar pihak berkuasa, masih menganggap semua ini main-main, dan menyangka kehidupan tetap berjalan seperti biasa tanpa perlu mengambil peduli... FIKIR SEMULA!
#barisan hadapan #duduk di rumah #Kita Jaga Kita #rayuan
;