Barisan exco Perak dipilih mengikut zon - Zambry
Bernama
Mei 13, 2013 18:03 MYT
Mei 13, 2013 18:03 MYT
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak bakal diwakili anggota dari pecahan geografi zon Utara, Selatan, Timur dan Barat, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Pelantikan anggota Exco dari zon berbeza ini dibuat berikutan keluasan negeri Perak yang besar selain untuk kepentingan pengurusan pentadbiran.
"Sekarang ini kita sedang membuat semakan terakhir bagi memastikan calon yang dikemukakan semuanya berkelayakan dan (calon) berdasarkan kepada setiap kawasan.
"Perak ini sebuah negeri yang besar, kita mahukan exco itu dapat mewakili bukan untuk satu-satu daerah tetapi juga daerah-daerah yang berdekatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Perak kali ke-26 di sini hari ini.
Selain itu, katanya, barisan exco dipilih berdasarkan latar belakang yang baik antaranya merangkumi aspek pengalaman dan pendidikan.
"Dahulu kita ada enam anggota exco dan sekarang ini (exco) yang lama hanya ada tiga, tentunya ada banyak kekosongan, jadi akan ada rombakan dan jawatan-jawatan yang baharu akan diwujudkan," katanya.
"Kita ada gabungan daripada mereka yang berpengalaman dan berkelayakan dari segi pentadbiran," katanya.
Zambry berkata beliau akan menghadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah bagi memohon perkenan pelantikan exco kerajaan negeri, dalam masa terdekat.
Pada pilihan raya umum ke-13 5 Mei lepas, Barisan Nasional (BN) Perak menang dengan majoriti mudah apabila menguasai 31 daripada 59 kerusi DUN (DUN) manakala Pakatan Rakyat memenangi 28 kerusi.
Umno memenangi 30 daripada 36 kerusi DUN yang ditandingi manakala MCA menyumbang satu kerusi iaitu DUN Chenderiang.