Barangan kawalan diseludup, dibungkus dan dijual semula di negara jiran - PGA
Bernama
April 22, 2021 17:22 MYT
April 22, 2021 17:22 MYT
PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) mendedahkan wujud 'industri kecil' di negara jiran melibatkan aktiviti penjualan barang kawalan yang diseludup dari negara ini melalui Sungai Golok.
Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 PGA Supt Azhari Nusi berkata berdasarkan maklumat, barangan seperti minyak masak akan diseludup keluar sedikit demi sedikit ke tempat pengumpulan sebelum dibungkus semula di Thailand.
Beliau berkata minyak yang dibungkus semula itu akan dijual hampir sekali ganda berbanding harga asal di Malaysia namun tetap mendapat permintaan tinggi di sana.
"Selain minyak masak, banyak lagi barangan kawalan seperti tepung, gula dan bahan bakar diseludup ke negara jiran melalui 'laluan tikus' di pangkalan haram.
"Barangan bersubsidi yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada rakyat harus dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak sepatutnya disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu seperti diseludup," katanya pada sidang media di Markas Taktikal PGA Lubok Setol di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Azhari berkata dalam kejadian terbaharu, PGA7 berjaya merampas sejumlah 8,415 kilogram (kg) minyak masak yang disumbat ke dalam empat kenderaan iaitu Proton Saga, Proton Aeroback serta dua lori Hicom.
Menurutnya, rampasan itu dilakukan ketika pasukannya melakukan serbuan bersama anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan di belakang sebuah kedai di Kampung Salor, di sini, pada 6 petang semalam.
"Ketika intipan dilakukan terdapat beberapa lelaki sedang menyusun kotak-kotak ke dalam dua buah lori dalam keadaan mencurigakan.
"Sebaik serbuan dibuat, kesemua lelaki itu berjaya melarikan diri namun seorang daripada pemandu lori berjaya ditahan. Pemeriksaan lanjut mendapati lokasi itu dijadikan sebagai transit barangan sebelum diseludup ke Thailand," katanya.
Azhari berkata, kesemua 8,415 kg minyak masak itu dianggarkan bernilai RM33,660.
Katanya, keseluruhan nilai rampasan termasuk dua lori, dua kereta dan minyak masak berjumlah RM117,660 dan kesemua barang dan kes diserahkan kepada KPDNHEP Kelantan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA