Barang terjatuh, dinding di berek polis di IPD Ranau Retak- Saksi
Bernama
Jun 5, 2015 16:45 MYT
Jun 5, 2015 16:45 MYT
Gempa bumi sederhana yang menggegar beberapa tempat di pantai barat Sabah hari ini turut mengejutkan saudara-mara dan sahabat handai di Semenanjung, yang bimbang mengenai keadaan mereka di Negeri di Bawah Bayu.
Lantas mereka menghubungi sanak saudara serta kenalan di Sabah bertanyakan khabar susulan gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau, pada 7.15 pagi tadi.
Nor Anina Alias, isteri kepada seorang anggota polis yang tinggal di Berek Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau, ketika dihubungi Bernama berkata beliau sedang berbaring dengan anaknya Nor Wahida Ar Raudah Abd Al Hafiz, dua tahun di atas katil apabila tiba-tiba kepalanya berasa seakan-akan pening.
BACA:
"Bangunan tiba-tiba rasa bergegar, barang-barang atas almari semua terjatuh, saya hanya mampu menjerit kerana panik dengan kejadian itu.
"Melihat barang-barang di atas almari terjatuh, saya terkejut lalu menjerit panggil suami yang kebetulan tidak bekerja hari ini. Suami saya kemudian segera membawa kami turun dari tingkat tiga berek polis dan berkumpul di padang," kata Nor Anina, 23, yang berasal dari Maran, Terengganu.
Katanya sebaik turun, ramai yang berkumpul dan pemeriksaan yang dilakukan selepas gegaran mendapati terdapat banyak kerosakan berlaku di berek kediaman empat tingkat di IPD itu termasuk retak di bahagian tangga dan dinding bangunan.
"Sehingga 12.30 tengah hari, kami tidak dibenarkan naik ke rumah masing-masing oleh pasukan bomba kerana dikhuatiri berlaku gegaran susulan," kata Nor Anina, yang sudah setahun lebih tinggal di Ranau kerana mengikuti suaminya bertugas di situ.
Sementara itu, pemilik chalet Kiram's Village di Kundasang Ranau, Jamalul Kiram Mohd Zakaria, 58, berkata kejadian itu menyebabkan beberapa kabinnya yang terletak di kaki Gunung Kinabalu iaitu kira-kira 5,700 meter dari paras laut mengalami kerosakan kecil.
BACA:
"Semasa kejadian, hampir kesemua chalet saya di Mesilau itu ditempah pengunjung dan sebaik gegaran dirasai, mereka semua segera keluar ke kawasan lapang untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.
Jamalul Kiram berkata beliau dimaklumkan oleh pekerjanya, semua penghuni dan pekerja diarah berkumpul di kawasan masjid kampung berhampiran atas faktor keselamatan sebelum dibenarkan semula untuk naik ke penginapan masing-masing.
"Semasa kejadian saya berada di rumah saya di Inanam, Kota Kinabalu dan gegaran turut dirasai di sini hampir 10 saat," katanya, yang menyifatkan gegaran tersebut paling kuat pernah dialaminya setakat ini.
LIHAT: ALBUM GEMPA BUMI RANAU