Barang milik Muhammad Nidza Afham tidak hilang, henti sebar spekulasi - KP Selangor

Bernama
Ogos 16, 2024 18:00 MYT
Sebelum ini, mayat penyanyi dan pempengaruh itu yang ditemukan di Sungai Klang menimbulkan spekulasi bahawa terdapat unsur jenayah menimpa Allahyarham. - Gambar fail
SHAH ALAM: Polis menafikan berlaku kehilangan dokumen atau barang milik Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar seperti yang ditularkan di media sosial.
Ketua Polis (KP) Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan daripada keluarga Muhammad Nidza Afham berhubung perkara berkenaan.
Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak betul serta tidak dipastikan kesahihannya.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati mengeluarkan sebarang spekulasi atau komen secara melampau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, mayat penyanyi dan pempengaruh berusia 23 tahun itu yang ditemukan di Sungai Klang menimbulkan spekulasi bahawa terdapat unsur jenayah menimpa Allahyarham.
Dalam hal itu, keluarga Allahyarham Muhammad Nidza Afham dilaporkan meminta orang ramai termasuk media menjaga sensitiviti dan perasaan mereka semasa mengulas kejadian itu.
Semalam, KP Selangor mengesahkan bahawa hasil awal bedah siasat dijalankan ke atas mayat Muhammad Nidza Afham mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal dengan siasatan diteruskan sebagai mati mengejut (SDR).
-- BERNAMA
#Nidza Afham #barangan tidak hilang #Hussein Omar Khan #Polis Selangor #penyanyi hilang #penyanyi dan pempengaruh
;