Baraj dan amaran awal sistem telematri kurangkan impak banjir di Kuching

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 11, 2022 14:57 MYT
Baraj Kuching merupakan salah satu komponen penting dalam Skim Pengawalan Sungai Sarawak (SSRS) yang dibina khas untuk mengawal air pasang besar dan banjir di bandaraya Kuching sejak 1998.- Astro AWANI
KUCHING: Setiap 15 minit, sistem telemetri amaran awal banjir sungai Sarawak akan memgemaskini paras air secara automatik kepada bilik operasi Baraj Kuching bagi memastikan proses siap siaga dapat digerakkan secepat mungkin jika bencana banjir berlaku.
Dikawal selia oleh Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), sistem kawalan pintu air itu akan diaktifkan apabila data taburan air hujan dan paras air sungai melebihi had amaran diteruma daripada mana-mana sistem telemetri yang dipasang di beberapa kawasan berisiko banjir.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, pemantauan secara berkala telah dan sentiasa dilakukan oleh pihaknya bagi memastikan setiap sistem kawalan banjir berada dalam keadaan baik dan dapat beroperasi pada bila-bila masa.
“Pihak kita akan memastikan semua sistem di baraj ini boleh beroperasi dengan baik bagi untuk memantau situasi banjir dalam masa yang sama memberi amaran kepada penduduk di kawasan rendah yang kerap banjir untuk bersedia menerusi sistem telemetri.
“Jika terdapat amaran air naik maka sistem ini akan membunyikan siren untuk memberi amaran kepada penduduk di kawasan yang berisiko untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan kerja dan menghadiri taklimat operasi dalam persiapan menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di baraj dan di stesen telemetri Batu Kawah pada Isnin.
Sementara itu menurut Ketua Jurutera Baraj Kuching, Fong Khi Thin, baraj tersebut hanya beroperasi untuk mengawal kejadian banjir dan bukan bertujuan untuk mengelakkan sepenuhnya bencana alam itu daripada berlaku.
“Di sini kita boleh mengawal paras air laut, bila air pasang tinggi kita akan tutup pintu kawalan air ini dan sehinggalah air pasang rendah kita buka pintu baraj untuk keluarkan semua lebihan air sehingga paras air berada pada tahap yang minimum.
“Proses ini akan membuka kawasan tadahan air yang lebih luas untuk menyimpan curahan air hujan yang ekstrem di kawasan hulu sungai.
Tambah Khi Tin, berbanding 59 tahun yang lalu, pembinaan baraj tersebut membawa banyak perubahan kepada keberkesanan kerajaan negeri mengawal bencana banjir khasnya di bahagian Kuching.
“Jika dibandingkan pada tahun 1963, air banjir di Bandaraya Kuching dapat dikurangkan dalam tempoh masa seminggu, selepas 2003 dan seterusnya, proses kawalan air banjir di bandaraya Kuching boleh dilakukan dalam tempoh beberapa jam sahaja,” katanya kepada Astro Awani.
Setakat ini, terdapat lebih 20 unit stesen telemetri yang berfungsi dengan baik dan konsisten menyediakan data masa sebenar kepada Bilik Operasi Baraj Kuching antaranya di stesen telemetri Batu Kawah, Sungai Maong Kiri, Kampung Segedup, Siniawan, dan Kampung Padawan.
Sistem penggera atau siren di setiap stesen telemetri juga boleh diaktifkan secara jarak jauh dari bilik kawalan baraj dan boleh didengari penduduk dalam lingkungan radius satu kilometer dari stesen.
Dalam pada itu, bilik operasi 24 jam di Ibu Pejabat (LSS) juga telah diaktifkan dan dihubungkan kepada bilik operasi Baraj Kuching untuk memantau rapi situasi paras air khasnya di kawasan berisiko banjir.
Dengan lebih 700,000 penduduk, Baraj Kuching adalah salah satu komponen penting dalam Skim Pengawalan Sungai Sarawak (SSRS) yang dibina khas untuk mengawal air pasang besar dan banjir di bandaraya Kuching sejak 1998.
Fasiliti itu merangkumi beberapa komponen utama melibatkan antaranya lima unit pintu baraj, seunit Shiplovk dan sebuah jejambat di atas struktur baraj tersebut.
#banjir #baraj #sistem telemetri #Sarawak
;