Barah hidung: Peluang sembuh tinggi dengan rawatan awal

Bernama
September 25, 2018 18:56 MYT
Fi pendaftaran adalah RM30 dan satu pendaftaran percuma akan diberikan jika mendaftar untuk kumpulan 10 orang melalui laman sesawang http://relayforlife.org.my/.
Barah hidung seperti 'Nasopharygeal carcinoma' mempunyai peluang sehingga 90 peratus untuk sembuh jika didiagnosis dan dirawat awal, demikian menurut Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia Cawangan Pulau Pinang.
Pengerusinya Datuk Seri Dr T. Devaraj berkata antara simptom biasa barah hidung ialah pendarahan hidung, bunyi berdengung pada sebelah telinga serta bengkak pada leher dan mereka yang mempunyai simptom terbabit disarankan berjumpa doktor secepat mungkin bagi mendapatkan diagnosis awal.
"Jika dikesan awal, ada peluang 80 hingga 90 peratus untuk sembuh," katanya kepada pemberita selepas sidang media bersempena 'The 14th Relay for Life Penang 2018', di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai keadaan semasa jaguh badminton nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei yang disahkan didiagnosis dengan barah hidung peringkat awal pada Ahad lepas.
Mengulas lanjut, Dr Devaraj berkata menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), barah tidak lagi perlu dianggap sebagai hukuman mati kerana pada masa kini terdapat kaedah untuk mengurangkan penderitaan serta meningkatkan kadar survival dan kualiti hidup penghidap.
Malah katanya 30 hingga 50 peratus barah boleh dicegah menerusi amalan gaya hidup sihat.
"WHO melaporkan kira-kira satu pertiga kematian akibat barah adalah disebabkan merokok, kurang makan buah-buahan dan sayur-sayuran, tidak bersukan selain pengambilan alkohol," katanya menambah merokok sahaja mengakibatkan kira-kira 20 peratus kematian akibat barah.
Selain genetik, Dr Devaraj berkata faktor persekitaran dan gaya hidup individu juga menyumbang kepada risiko menghidap barah hidung.
Katanya sekitar 80 hingga 90 peratus barah amnya dikaitkan dengan punca persekitaran dan kira-kira 10 peratus dikaitkan dengan genetik.
"Bukan sahaja kaum Cina Malaysia dan Kadazan tetapi juga mereka dari Asia Tenggara dan selatan China berisiko menghidap penyakit itu dan sudah pasti merokok, tidak bersukan serta obesiti meningkatkan risiko," katanya.
Sementara itu, kira-kira 1,000 orang termasuk survivor kanser, mendaftar untuk program berkaitan kanser serta pengumpulan dana Relay for Life yang akan diadakan pada 7 Okt ini dari 3 petang hingga 10 malam di Stadium Universiti Sains Malaysia.
Fi pendaftaran adalah RM30 dan satu pendaftaran percuma akan diberikan jika mendaftar untuk kumpulan 10 orang melalui laman sesawang http://relayforlife.org.my/.
-- BERNAMA
#barah #barah hidung #Datuk Seri Dr T Devaraj #diagnosis #Lee Chong Wei #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Simptom #WHO
;