Bapa Umi Azlim harap dapat jumpa anaknya sebelum menghembuskan nafas terakhir
Bernama
April 21, 2024 06:15 MYT
April 21, 2024 06:15 MYT
PASIR PUTEH: Bapa Umi Azlim menzahirkan harapan untuk berjumpa dengan anak perempuannya, Umi Azlim yang sedang menjalani hukuman penjara di Guangzhou, China sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
Umi Azlim, 40, yang ditahan pada 2007 dan dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan mengedar dua kilogram heroin, bakal dibebaskan pada 2030 selepas hukumannya diringankan dan diganti dengan penjara seumur hidup.
Lazim Jusoh, 67, berkata pada 2022, Umi Azlim memaklumkan bakal dibebaskan pada 2030 pada kali terakhir dia berhubung dengan emak saudaranya, Noraini Jusoh, 55, yang menetap di Johor.
"Sekiranya dibebaskan kelak, usianya sudah 46 tahun dan saya ketika itu jika umur panjang akan berusia 73 tahun.
"Walaupun telah lama tidak berhubung dengan dia namun saya tidak melupakannya. Setiap saat saya mengenangkan nasibnya di China," kata warga emas itu kepada pemberita di rumahnya di Taman Desa Anda di sini semalam.
Lazim, yang menghidap penyakit kencing manis, berkata dia tidak lagi berupaya melakukan kerja-kerja berat.
Ketika ditahan, Umi Azlim berumur 23 tahun dan baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Sains Biologi di Universiti Malaysia Sabah.
-- BERNAMA