Bapa tunggal derita sakit tulang belakang
Astro Awani
Februari 21, 2015 14:43 MYT
Februari 21, 2015 14:43 MYT
Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah nasib seorang bapa tunggal yang menderita akibat sakit tulang belakang selepas terbabit dalam satu kemalangan ketika bekerja kira-kira enam tahun lalu.
Kecelakaan yang menimpa Zahari Abdullah, 49, ketika itu meninggalkan kesan yang terpaksa ditanggung sehingga kini.
Katanya ketika itu beliau bekerja di pasar besar dan sedang memunggah tong ikan yang besar.
Bagaimanapun secara tiba-tiba tong yang berada di bahagian atas jatuh lalu menghempap bahagian tengah belakang beliau sehingga menyebabkan tulang belakangnya mengalami keretakan.
Pemeriksaan X-Ray di hospital Sultanah Bahiyah mendapati tulang belakangnya telah beralih 18 sentimeter dari kedudukan tempat asal.
Dia yang kini hanya bergantung harap kepada kakaknya Ramlah Abdullah, 52, bagi menguruskan segala keperluan anak tunggalnya Nurul Syuhada Zahari, 6, serta dirinya ekoran tidak mampu untuk bergerak.
Setiap hari kakaknya akan datang menghantar makanan kepada Zahari yang tinggal berasingan di kampung Sungai Korok Lama, Simpang Kuala, di Alor Setar.
Penderitaan yang di hadapi Zahari mendapat perhatian, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar. -Gambar: Astro AWANI
Lebih malang bantuan RM180 yang di terima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya cukup-cukup untuk membayar sewa rumah.
Penderitaan yang dihadapi Zahari mendapat perhatian, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Abdul Hafiz Syed Mustafa yang hadir melawat Zahari di rumahnya.
“Hari ini kita tengok dari segi keperluan-keperluan apa yang mungkin kita boleh bantu, tilam yang bersesuaian dan juga mungkin dari segi kerusi roda mungkin kita ada dapat bantuan,” katanya.
Kepada sesiapa yang bersimpati dengan nasib Zahari boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun BSN 02109-41-00004289-3 (Zahari Abdullah) atau menghubunginya di talian 012-5993097.