Bapa tumbuk, tendang, libas dengan parang anak sambut hari lahir ke-12
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 30, 2023 17:05 MYT
Oktober 30, 2023 17:05 MYT
GERIK: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang dipercayai memukul anak kandungnya yang berusia 12 tahun di Kampung Perah, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu, kira-kira jam 5.50 petang semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang, ketika kanak-kanak lelaki itu berada di rumah ibu saudaranya, seorang wanita Thailand berusia 35 tahun, di kampung tersebut.
Menurutnya, bapa mangsa, seorang lelaki tempatan yang berumur 37 kemudiannya masuk ke rumah lalu menumbuk dan menendang belakang badan mangsa.
“Suspek juga bertindak melibas sebilah parang yang berada di tangannya dan hampir terkena mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, siasatan lanjut mendapati, wanita Thailand itu membawa balik anak saudaranya kira-kira jam 6 petang Sabtu untuk menyambut hari lahir mangsa dan dia akan dihantar pulang petang Ahad.
Katanya, mangsa telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Daerah Gerik oleh adik ipar wanita Thailand itu kira-kira jam 5.20 petang semalam, untuk mendapatkan rawatan.
Zulkifli berkata, akibat kejadian itu, mangsa disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang badan dan paha.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.