Bapa tikam bayi positif dadah, direman lima hari - Polis

Fareez Azman
Disember 13, 2020 19:21 MYT
Fadzil berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
KUALA LUMPUR: Lelaki yang menikam anak perempuannya berusia 18 bulan sehingga menyebabkan bayi itu cedera parah pada Sabtu, didapati positif dadah jenis Metamphetamine.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata suspek yang berusia 27 tahun itu kini direman lima hari bagi membantu siasatan.
"Dia didapati positif Metamphetamine selepas ujian saringan air kencing dijalankan.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
BACA: Bayi 18 bulan parah ditikam bapa
Mengulas lanjut, Fadzil berkata, suspek yang bekerja di sebuah kedai memasang filem cermin kenderaan sudah berpisah dengan isteri selepas beberapa bulan berkahwin dan tinggal bersama ibunya dan bayi berkenaan di rumah itu.
Dalam kejadian 4 petang Ahad, bayi perempuan itu parah selepas ditikam bapanya di sebuah rumah di Puchong Permai.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, dilaporkan berkata kejadian berlaku ketika suspek bersama mangsa berada di rumah.
Polis berjaya menahan suspek dan merampas sebilah pisau pemotong roti disyaki digunakan untuk menikam mangsa.
Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.
#Puchong #Subang Jaya #saringan air kencing #bayi #mangsa #suspek #siasatan #mahkamah #jenayah #tikam bayi #Dadah #PDRM #Datuk Fadzil Ahmat
;