Bapa tiga anak dipenjara 50 tahun lakukan amang seksual
Astro Awani
Oktober 31, 2018 16:24 MYT
Oktober 31, 2018 16:24 MYT
Padah melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada dua minggu lalu, seorang bapa tiga anak dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.
Hukuman itu diputuskan Hakim Elesabet Paya Wan selepas tertuduh Md Zhafran Bakar, 31, mengaku bersalah atas enam pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya.
Mengikut empat pertuduhan di bawah Seskyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017, tertuduh didapati meminta kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 14 tahun 11 bulan dan 15 tahun dua bulan yang juga pasangan sepupu, untuk memasukkan kemaluan mereka ke dalam mulut dan duburnya.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara sehingga tempoh 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan.
Manakala dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 15(e) akta sama, Zhafran yang juga seorang penjual buah, didapati mendorong kedua-dua remaja lelaki berkenaan melihat video berunsur lucah menerusi telefon bimbitnya ketika berada di dalam sebuah kereta di Pasar Borong Batu Berendam sekitar 12.30 malam, 21 Oktober lalu.
Mengikut fakta kes, kedua-dua mangsa yang ketika itu berada di sebuah rumah flat didatangi tertuduh untuk diajak bersembang dan diberikan rokok kepada pasangan sepupu itu, sekitar 5 petang 20 Oktober lalu.
Tertuduh pada sebelah malam kemudiannya menghubungi mangsa menerusi aplikasi ‘Whatsapp’ untuk mengajak berjumpa dan belanja makan sebelum dibawa ke bilik hotel di Batu Berendam.
Salah seorang mangsa mula menangis ketika dalam perjalanan ke hotel apabila tertuduh memujuk dengan berkata “boleh tak abang try kamu? Boleh tak? Boleh-lah” dan menawarkan telefon bimbit sekiranya mereka bersetuju.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Siti Ruvinna Mohd Rawi memohon agar hukuman tinggi dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kes melibatkan dua mangsa yang berlainan.
Hujahnya, tertuduh merupakan seorang bapa kepada tiga anak dan sepatutnya faktor itu menjadi pendorong kepadanya untuk lebih melindungi kanak-kanak dan bukannya menjadi ‘sex predator’.
Tambahnya lagi, fakta kes juga jelas menunjukkan tertuduh menawarkan beberapa habuan seperti kerja separuh masa, belanja makan dan juga berjanji untuk menghadiahkan telefon bimbit sehingga mendorong mangsa mengikutnya ke bilik hotel.
Elesabet pada penghakimannya kemudian memutuskan hukuman penjara selama 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan amang seksual manakala lima tahun penjara bagi setiap pertuduhan mengikut seksyen 15(e).
Kesemua hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap 21 Oktober 2018 lalu.
Tertuduh tidak diwakili peguam.