Bapa tidak mengaku bersalah rogol anak kandung

Sinar Harian
Februari 1, 2024 14:50 MYT
Tertuduh diiring polis ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Khamis. - Gambar/ Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan merogol anak kandungnya pada November tahun lalu.
Tertuduh berusia 47 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah merogol anak kandungnya yang ketika kejadian berusia 16 tahun enam bulan yang mana ia tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.
Kesalahan itu dilakukan pada 12 November 2023, pada waktu petang, di sebuah rumah di Rembau.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih dari 30 tahun, dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang dari 10 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung tidak menawarkan jaminan memandangkan mangsa merupakan anak kandung tertuduh dan sekiranya diberikan jaminan dikuatiri dia akan menganggu mangsa.
"Pihak pendakwaan membantah jaminan diberi dan mangsa ini juga telah dipukul oleh tertuduh selepas kejadian dan tertuduh juga akan dituduh untuk kes itu," katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya telah memohon maaf dan memberitahu ketika kejadian dia sedang mabuk yang menyebabkan dia melakukan perbuatan tidak baik.
"Saya juga perlu menjaga bapa dan saya juga kini orang kurang upaya (OKU) kerana pernah kemalangan yang menyebabkan sebelah mata saya rosak.
"Jadi sukar saya nak cari kerja lain. Saya juga tiada pekerjaan tetap dan sekarang tinggal sendirian," katanya.
Hakim tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 6 Mac ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Media sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan dibelasah oleh bapanya menggunakan pelbagai objek sehingga mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Tampin.
Kejadian itu dipercayai disebabkan bapanya tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengadu kepada teman wanita bapanya yang dia telah dirogol lelaki itu. - Sinar Harian
#rogol anak kandung #Rembau #pukul anak #gejala sosial
;