Bapa terkejut anak dua tahun koma dipatuk ular tedung

Nazialita Geynna Maharan
Disember 5, 2017 16:57 MYT
Muhammad Izz yang sedang nyenyak tidur dipatuk ular tedung hingga koma. - Astro AWANI
Seorang bapa terkejut apabila anak keempatnya yang berusia dua tahun tujuh bulan dipatuk ular tedung lalu koma di sebuah bilik di rumah mereka di Bandar Baru Putra di sini, pada Isnin.
Kejadian itu disedari Sumardi Chek Had, 39 apabila terdengar suara tangisan anaknya meraung kesakitan kira-kira jam 7 pagi itu.
Sumardi segera mengangkat mangsa, Muhammad Izz Fayyad dari katil sebelum ternampak seekor ular tedung di bawah tilam.
"Masa itu, Muhammad Izz menangis kesakitan dan saya ternampak ada bekas gigitan ular di tangan kirinya serta bengkak.
"Saya segera memanggil isteri dan menghantar Muhammad Izz ke hospital selain dia dilaporkan koma dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi Astro Awani pada Selasa,
Tambah Sumardi dia segera menghubungi pihak berkuasa untuk menangkap reptilia berkenaan.
Sementara itu, Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kinta, Lt Rayner Saimon berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 7.30 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik sahaja tiba pihaknya berjaya mengesan ular tedung di dalam rumah mangsa.
"Seramai lima anggota berjaya menangkap ular tedung berkenaan dan segera membawanya ke hospital untuk diserahkan bagi rujukan penawar racun gigitan ular.
"Ini merupakan kes ketiga yang sama berlaku di kawasan berkenaan, kerana sebelum ini memang kami pernah menangkap ular yang memasuki kawasan perumahan di Bandar Baru Putra," katanya.
Tinjauan Astro Awani mendapati mangsa, Muhammad Izz Fayyad kini masih lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun buat masa ini dan dalam pemantauan ketat pihak perubatan.
#Bandar Baru Putra #bayi koma #Hospital Raja Permaisuri Bainun #Ipoh #Kanak-kanak #mangsa #Muhammad Izz Fayyad #operasi #racun gigitan ular #Rayner Saimon #rumah #ular
;