Bapa tergamak bawa anak demam teman lepas gian dadah

Nur Fazlizai Ali
Mac 20, 2021 06:02 MYT
26 individu ditahan AADK dalam operasi di Kampung Gemuroh, Bukit Payong pada Sabtu. - Astro AWANI
MARANG: Seorang bapa tergamak membawa anak lelakinya yang demam untuk menemaninya melepaskan gian di sarang penagihan dadah.
Bagaimanapun tindakan bekas tentera itu menerima padah selepas dicekup Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada Sabtu.
Lelaki yang berusia 39 tahun itu ditahan bersama 25 lagi individu lain dipercayai penagih dadah berhampiran pinggir sungai di Kampung Gemuroh, Bukit Payong kira-kira jam 2 petang.
Suspek yang hanya dikenali sebagai Mamat berkata, dia menyesal membawa anak bongsunya berusia 6 tahun itu bagi melepaskan gian di sarang penagihan yang baru diketahuinya tiga hari lalu.
Mamat mendakwa dia diajak rakannya untuk ke sarang penagihan itu, dan disebabkan tiada pilihan dia terpaksa mengherat anak bongsunya kerana isterinya sedang bekerja.
“Tadi ada kawan pergi rumah, dia minta tolong ambil ‘barang’. Saya sedang menggunting rambut anak, selepas itu saya ke sana. Saya tidak bawa anak masuk dalam,” katanya.
Jelas Mamat, dia meminta kawan menjaga anaknya di luar kawasan belukar dan melepaskan gian sebelum diserbu pasukan penguat kuasa AADK.
Mamat yang juga seorang penganggur mula terjebak dengan najis dadah sejak tiga tahun lalu di mana pada asalnya bertujuan mengubati sakit belakang selepas terbabit kemalangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Marang, Roslina Awang berkata, serbuan bermula jam 7 pagi itu telah berjaya menahan 26 lelaki disyaki penagih berumur antara 26 sehingga 58 tahun.
“Dalam ops ini, 26 penagih telah ditahan iaitu berumur antara 26 sehingga 58 tahun dan kebanyakan pengguna yang ditangkap adalah pengguna dadah jenis morfin dan methamphetamine.
“Tindakan akan diambil di bawah Seksyen 31 dan juga Seksyen 62 Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.
Katanya lagi, kesemua suspek akan direman 14 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 62 Akta Penagih 1983.
#Dadah #anak #bekas tentera #suspek #siasatan
;