Bapa tendang, hentak anak dengan besi papan seterika
Sinar Harian
Januari 24, 2024 22:18 MYT
Januari 24, 2024 22:18 MYT
REMBAU: Angkara mabuk, seorang bapa dipercayai tergamak menendang anak kandung perempuannya berusia 17 tahun selain menghentak mangsa dengan besi papan seterika, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kaunter aduan Balai Polis Kota menerima maklumat kejadian yang berlaku di Kampung Baru Kendong, di sini jam 12 tengah malam.
"Seorang lelaki mengatakan kawannya dipukul oleh bapanya sendiri di rumah.
"Ekoran itu suspek berusia 47 tahun telah ditahan di hadapan rumahnya dalam keadaan mabuk dan telah dibawa ke Balai Polis Kota untuk tindakan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, mangsa pula dibawa ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ujarnya, pemeriksaan mendapati, mangsa luka di bahagian kiri kepala dan menerima 12 jahitan selain turut luka di bahagian tangan kanan dan lebam di bahu kanan.
"Berdasarkan keterangan mangsa, dia telah ditendang oleh suspek pada bahagian perut dan senjata digunakan ialah kerusi, raga menyimpan pakaian dan besi papan seterika.
"Mangsa akan dirujuk ke Hospital Kuala Pilah," katanya.
Jelas Hazri, terdapat saksi yang merakam kejadian tersebut iaitu teman wanita suspek, namun semasa polis tiba di lokasi kejadian, dia telah pun beredar.
Tambahnya, usaha untuk mengesan barang kes dan saksi yang dapat membantu siasatan masih diteruskan.
"Pemeriksaan juga mendapati, suspek mempunyai tujuh rekod jenayah dan dadah serta direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya. -Sinar Harian