'Bapa tak tahu saya keluar' - budak 14 tahun antara samseng jalanan yang dicekup
Astro Awani
Februari 18, 2018 11:57 MYT
Februari 18, 2018 11:57 MYT
Berlagak dan berani mati. Itu antara sikap samseng jalanan yang dikesan di dalam operasi bersepadu di Persiaran Sultan, Shah Alam, malam tadi.
Malah, tindakan beberapa pemuda yang cuba meloloskan diri dari sekatan jalan dengan menongkah arah akhirnya membawa padah apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas.
Mereka, bagaimanapun, hanya mengalami kecederaan ringan.
Operasi Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik IPD Shah Alam bermula jam 12 malam hingga 6 pagi tadi itu berjaya menyita lebih 63 buah motosikal yang cuba diubah suai menjadi motosikal lumba.
Penguatkuasa trafik IPD Shah Alam Inspektor Mohd Nazli Nordin berkata, kebanyakkan motosikal itu diubah suai hingga mencecah ribuan ringgit.
Malah, ada antara mereka yang sanggup berdepan tindakan saman asalkan motosikalnya nampak gah.
“Datang sini pergi Dataran (Shah Alam). Mak tahu saya keluar (tapi) saya cakap kat mak nak jalan situ je.
“Bapa tak tahu.. saya keluar ikut pintu depan. Bapa kerja… saya sekolah lagi,” kata seorang remaja, 14 tahun, yang ditahan dalam operasi tersebut.
Seorang pemuda yang dikenali sebagai Amirul, 22 tahun pula, berkata lumba motosikal merupakan ‘hobinya’.
“Saya tahu salah tapi ini kan hobi saya… nak buat macam mana. Setakat sekarang ni (kos ubah suai) dalam RM4,000 hingga RM5,000 ribu macam tu. Baru setahun (terlibat)… memang minat,” katanya.
Sejumlah 380 buah motosikal dan 32 buah kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi itu dijalankan.
Hasilnya, 179 saman dikeluarkan dan kesalahan tertinggi yang dicatat ialah ketiadaan lessen di mana 81 saman telah dikeluarkan.
Seorang wanita turut ditangkap kerana positif dadah jenis methamphetamine.
Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Shah Alam untuk tindakan lanjut.
#berani mati
#berlagak
#IPD Shah Alam
#mat rempit
#motosikal
#operasi bersepadu
#Persiaran Sultan
#samseng jalanan
#shah alam