Bapa simbah anak dengan air panas ditahan polis
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 6, 2019 22:48 MYT
Januari 6, 2019 22:48 MYT
Selepas lebih seminggu melarikan diri, seorang bapa yang bertindak menyimbah air panas pada badan anak perempuannya di Flat Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang minggu lalu akhirnya ditahan polis.
Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kedai di Jalan Paya Terubong, pada jam 10 pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, suspek ditahan bersama isterinya yang berusia 34 tahun dan anak bongsu mereka.
Che Zaimani berkata, ujian air kecing ke atas pasangan suami isteri berkenaan negatif dadah dan kedua-duanya juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Suspek akan direman untuk siasatan lanjut dan setakat ini kes itu disiasat di bawah Seksyen 13 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam kejadian 27 Disember lalu, suspek bertindak menyimbah air panas ke atas tubuh anak perempuannya yang berusia lapan tahun kerana berang selepas mendapati makanan di rumah mereka dihabiskan empat anaknya.
Akibat kejadian itu, mangsa berusia lapan tahun mengalami lecur tiga peratus pada lengan, rusuk dan dada kanan selepas disimbah air panas.
Suspek kemudian melarikan diri bersama isterinya yang berusia 38 tahun dan anak bongsu mereka.