Bapa segala serakah, liwat anak sendiri sewaktu umrah di Mekah

Harits Asyraf Hasnan
September 8, 2017 19:33 MYT
Seorang bapa berusia 36 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 48 tahun dan 24 sebatan kerana didakwa dengan 623 pertuduhan rogol, liwat, sumbang mahram. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Sejak pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh yang melakukan sumbang mahram, serangan seksual dan liwat terhadap anak kandungnya berusia 15 tahun pada 9 dan 10 Ogos lalu, rakyat Malaysia terus menghalakan fokus terhadap kes tersebut.
Kejutan berlaku pada hari pendakwaan apabila tertuduh didakwa meliwat anaknya tiga kali sehari termasuk pada bulan Ramadan.
Namun, pendedahan fakta kes pada prosiding hari ini lebih mengejutkan.
Tatkala Timbalan Pendakwa Raya, Nordalina Ali membacakan fakta kes dalam nada sebak, tiba-tiba penulis dan rata-rata mereka yang hadir termasuk Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim tersentak.
Mana tidaknya, pendedahan demi pendedahan dilakukan.
BACA: 'Inilah kes paling keji pernah aku lapor!'
PERTAMA KALI DI MEKAH
Dalam fakta kes yang dibacakan, mangsa didakwa telah diliwat buat pertama kali oleh tertuduh ketika berusia 13 tahun semasa mengerjakan ibadah umrah di Mekah pada 3 April 2015.
Mangsa mendakwa dihempap dari belakang, ditarik seluar, ditutup mulut dan tertuduh memasukkan kemaluan ke dalam dubur mangsa.
Malah, terdapat satu kejadian di mana mangsa menjerit kesakitan dan sehingga terkeluar najis akibat terlalu menahan sakit.
Itu antara sebahagian daripada ratusan siri trauma dan keperitan dilalui mangsa yang diceritakan di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.
KEMALUAN KOYAK
Turut dibacakan adalah laporan perubatan dari dua buah hospital yang menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa.
Memetik laporan perubatan obstetrik dan ginekologi (O&G) sebuah hospital kerajaan, terdapat kesan luka lama pada kemaluan mangsa.
Selain itu, laporan perubatan pembedahan awam hospital berlainan turut mendapati ada luka baru pada kemaluan mangsa.
BACA: Liwat anak kandung: Bapa durjana dihukum penjara 48 tahun, 24 sebatan
JANGAN ADIK JADI MANGSA
Mangsa tinggal bersama bapanya sejak Januari tahun ini selepas ibu bapanya bercerai dan dia memberitahu ibunya mengenai kejadian itu setelah mengetahui bapanya akan mengambil dua adiknya untuk tinggal bersama mereka dan dia takut perkara sama berlaku kepada adik-adiknya.
Laporan polis mengenai kejadian dan perbuatan lelaki itu dibuat oleh bekas isteri tertuduh pada 25 Julai lepas.
Pastinya, kes ini telah terpahat dalam lipatan sejarah jenayah juvana negara apabila Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan lelaki itu merupakan tertuduh pertama negara ini yang didakwa atas beratus-ratus pertuduhan melibatkan jenayah serangan seksual.
#jenayah #Kanak-kanak #liwat #penganiayaan seks #rogol #seks
;