Bapa saudara mengaku salah hempas bayi, humban anak saudara

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 9, 2023 05:46 MYT
Tertuduh Mohammad Azmin Hamanullah membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim, Mazdi Abdul Hamid. - Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen 2 George Town hari ini atas dua pertuduhan cubaan membunuh dua anak saudaranya iaitu seorang bayi berusia 44 hari dan seorang kanak-kanak perempuan, 2 Ogos lalu.
Tertuduh Mohammad Azmin Hamanullah, 28, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim, Mazdi Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Azmin didakwa dengan niat telah melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang bayi perempuan berusia 44 hari.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan niat telah melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah flat di Jalan Makloom, George Town , pada jam 3 petang, 2 Ogos lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.
Tertuduh juga boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika perbuatannya itu menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar.
Mazdi kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan mengikut Seksyen 342 (5) Kanun Prosedur Jenayah selain tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.
Kes ditangguhkan sehingga 11 September sementara menunggu laporan perubatan mental.
Dalam kejadian pada 2 Ogos lalu, seorang bayi perempuan berusia 44 hari mengalami pendarahan otak akibat dihempas ke lantai oleh bapa saudaranya.
Manakala kakak mangsa berusia tiga tahun mengalami kecederaan di bahagian mulut serta patah kaki kiri akibat dicampak dari tingkat satu sebuah pangsapuri.
Dalam kejadian itu, suspek yang berusia 28 tahun turut mengelar pergelangan tangannya hingga mengalami kecederaan.
#hempas bayi #humban anak saudara #penganggur mengaku bersalah #George Town