Bapa saudara didakwa rogol pelajar tingkatan dua

Umavathi Ramayah
Februari 13, 2021 15:48 MYT
Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, berdasarkan laporan, tindakan terkutuk itu berlaku pada setiap kali ibu mangsa dan adik-beradiknya tidak berada di rumah atau sedang tidur. - Gambar fail/BERNAMA
PETALING JAYA: Seorang pelajar mendakwa dia dirogol oleh bapa saudaranya sejak Mac tahun lalu.
Perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas pelajar tingkatan dua itu tampil membuat laporan pada 11 Februari lalu.
Bertindak atas laporan itu, polis menahan bapa saudara mangsa yang berusia 41 tahun itu di kawasan Sea Park kira-kira tujuh jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, berdasarkan laporan, tindakan itu berlaku pada setiap kali ibu mangsa dan adik-beradiknya tidak berada di rumah atau sedang tidur.
Malah katanya, mangsa turut diugut supaya tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa.
"Buat masa ini, mangsa ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Menurut Nik Ezanee, suspek yang merupakan abang kepada ibu mangsa kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram dijalankan.
Jika sabit kesalahan katanya, suspek boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun serta dikenakan sebatan.
#Ketua Polis Negara #Polis Diraja Malaysia #IPD Petaling Jaya #Hospital Kuala Lumpur #rogol #mangsa #dirogol bapa saudara #dakwa merogol #sumbang mahram
;