Bapa rogol anak kandung berusia 14 tahun sejak tiga tahun lalu direman tujuh hari
Muhafandi Muhamad
Jun 1, 2022 18:04 MYT
Jun 1, 2022 18:04 MYT
KOTA BHARU: Remaja perempuan berusia 14 tahun yang rebah dan pengsan di sebuah sekolah menengah di Tanah Merah membongkar kejadian sumbang mahram yang dilakukan bapa kandungnya.
Lebih jijik lagi, bapa durjana itu dipercayai menjadikan anak perempuannya yang masih bersekolah itu sebagai pemuas nafsu sejak remaja itu berusia 11 tahun.
Perbuatan bapa tidak bertanggungjawab itu terbongkar selepas mangsa dan guru sekolah berkenaan tampil membuat laporan polis sekitar pukul 11.55 tengah hari semalam.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berikutan tindakan tidak bermoral bapanya, remaja malang itu mengalami tekanan sehingga menyebabkan dia pensan di sekolah.
Susulan itu, Muhamad Zaki berkata, melalui sesi kaunseling yang diadakan di sekolah, remaja itu membuat pengakuan yang dia adalah mangsa sumbang mahram bapa kandungnya.
“Hasil dari itu (pengakuan), laporan polis dibuat oleh mangsa yang berusia 14 tahun (mendakwa) ayahnya telah masuk ke biliknya pukul 2 pagi dan melakukan rogol,” kata Muhamad Zaki dalam sidang media selepas mengumumkan kejayaan polis Kelantan membuat tangkapan dan rampasan dadah.
Muhamad zaki berkata, susulan laporan dibuat, bapa mangsa yang berusia 39 tahun dan bekerja sebagai buruh ditangkap di pekarangan Hospital Tanah Merah sekitar pukul 6.30 petang semalam.
Kata Muhamad Zaki, hasil rakaman percakapan mangsa dan pengakuan kepada guru kaunseling sekolahnya, bapa kandungnya dipercayai melakukan perbuatan rogol itu sejak mangsa berusia 11 tahun lagi.
“Suspek yang turut mempunyai isteri (ibu tiri mangsa) serta lima anak berusia dari 8 tahun hingga 8 bulan melakukan perbuatan itu di rumahnya,” ujar Muhamad Zaki sambil memberitahu suspek berasal dari Indonesia, namun, mempunyai kerakyatan negara ini.
Dalam perkembangan sama, mangsa, jelasnya, dibawa menjalani rawatan di hospital dan pemeriksaan mendapati berlaku koyakan lama dan baharu pada selaput daranya.
Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.
Sementara itu, polis Kelantan, kata beliau, berjaya merampas sejumlah dadah dengan nilai keseluruhannya lebih RM500,000 dalam tiga serbuan berasingan semalam.
Katanya, empat individu termasuk seorang wanita ditahan susulan rampasan pelbagai jenis dadah itu.