Bapa rogol, amang seksual dua anak dipenjara 702 tahun, 234 sebatan
Sinar Harian
Ogos 14, 2023 14:37 MYT
Ogos 14, 2023 14:37 MYT
MUAR: Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 702 tahun dan 234 sebatan di Mahkamah Sesyen Muar di sini pada Isnin, atas 19 pertuduhan merogol dan 11 tuduhan amang seksual terhadap dua anak kandungnya sejak enam tahun lalu.
Pekerja pembersihan berusia 53 tahun itu, mengekalkan pengakuan bersalah yang dibuat sewaktu pendakwaan pada 16 Julai, di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga ke-19, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk terhadap dua anak perempuannya yang kini berusia 15 dan 12 tahun di dua buah rumah berbeza, di sini sejak tahun 2017 dan kali terakhir pada Julai tahun ini.
Ketika kejadian, tertuduh melakukan perbuatan sumbang itu ke atas kedua-dua mangsa ketika masing-masing berusia 9 dan 10 tahun.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ke-21 hingga 30 pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap kedua-dua mangsa di lokasi dan masa yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2017 dan dibacakan bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir memohon hukuman berat dikenakan kerana perbuatan terkutuk tertuduh akan meninggalkan kesan trauma kepada mangsa.
Pendakwaan turut memberitahu kedua-dua mangsa bimbang untuk memberitahu kepada ibu tentang perbuatan ayah mereka kerana bimbang kesihatan ibu yang sakit buah pinggang dan darah tinggi.
Hakim turut sebak selepas diberitahu salah seorang mangsa mengandung lima minggu akibat perbuatan tidak bertanggungjawab si ayah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta hukumannya diringankan kerana sudah insaf atas perbuatannya itu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman maksimum penjara iaitu 30 tahun dan 10 sebatan untuk setiap pertuduhan merogol.
Manakala bagi kesalahan amang seksual, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan serta tambahan dua tahun penjara dan dua sebatan.
Abu Bakar memerintahkan hukuman bagi kedua-dua kesalahan itu dijalankan secara serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditahan pada 10 Julai tahun ini. - Sinar Harian