Bapa rayu maklumat anak hilang

Bernama
April 11, 2013 17:10 MYT
Seorang bapa merayu orang ramai agar menyalurkan maklumat berhubung anak lelakinya, Ling Shih Haw, 25, yang gagal dikesan sejak 17 hari lalu.
Ling Theng Liong, 56, berkata anaknya yang bekerja di Malayan Flour Mills Bhd, Lumut, Perak sebagai jurutera mekanikal menghilangkan diri sejak 26 Mac lalu pukul 7.20 pagi selepas pergi ke tempat kerja.
"Dia menunggang motosikal jenis Honda Wave nombor pendaftaran AFQ 5721 dan tidak kembali ke rumah. Saya cuba menghubungi telefon bimbitnya tapi sudah dimatikan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Biro Pengaduan MCA di sini hari ini.
Beliau juga telah menghubungi pihak pengurusan tempat anaknya bekerja dan diberitahu bahawa anaknya tidak hadir bekerja pada hari berkenaan.
Katanya terdapat transaksi pengeluaran duit dari akaun bank anaknya di beberapa lokasi iaitu di KL Sentral, Rapid Gombak, dan Melaka yang keseluruhan berjumlah RM3,080.
Ling turut menerima dua khidmat pesanan ringkas (SMS) dari dua nombor tidak dikenali pada hari berlainan mendakwa beliau merupakan Shih Haw, yang mempunyai masalah kewangan dan cuba menyelesaikannya.
Terkini, pada 5 April lalu beliau menerima SMS kedua yang mendakwa rakan kepada anaknya, Shih Haw ada berjumpa dengannya untuk meminjam duit sebanyak RM1,500 dan memberitahu nyawa anaknya dalam bahaya.
Beliau turut berkata seorang kawan perempuan universitinya pernah berjumpa anaknya di KL Sentral pada 28 Mac pukul 10.20 malam dalam keadaan sihat tetapi tidak tentu arah.
Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Ayer Tawar, Perak pada hari anaknya hilang kira-kira pukul 11.54 malam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terjumpa Shih Haw boleh menghubunginya di talian 019-488 5942 dan juga Biro Pengaduan MCA 03-2203 3388, katanya.
#hilang
;