Bapa rayu kesan anak perempuan hilang
Bernama
Jun 8, 2023 06:15 MYT
Jun 8, 2023 06:15 MYT
GEORGE TOWN: Seorang kontraktor merayu agar anak perempuannya Tan Shu Chyi, yang menghilangkan diri sejak 1 Mei lepas dapat pulang ke pangkuan keluarga atau menghubunginya segera kerana mereka bimbangkan keselamatannya.
Tan Boon Chai, 57, berkata dia dan isteri Chew Wah Siew, 49, bukan sahaja resah dan bimbang, malah juga tidak dapat tidur lena mengenangkan nasib dan keberadaan anak sulung daripada tiga beradik yang berusia 25 tahun itu.
"Shu Chyi bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat di Kuala Lumpur sejak 2022 ... sebelum ini kami selalu berhubung menerusi panggilan telefon, tetapi sejak 1 Mei dia tiba-tiba menghilang, saya tidak dapat menghubunginya," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Parti Gerakan di sini hari ini, yang turut dihadiri Jurucakap Parti Gerakan Sungai Pinang Mok Kok On.
Boon Chai berkata pada 20 Mei lepas, dia mendapat panggilan telefon daripada seorang lelaki mendakwa anaknya meminjam wang sebanyak RM2,500 dan mengesyaki kehilangan anaknya berpunca daripada masalah hutang itu.
"Saya dimaklumkan jumlah hutang itu telah meningkat hingga RM6,000 (termasuk kadar faedah) dan mungkin jumlah itu akan terus meningkat ... saya risau jika anak saya dicederakan atau diapa-apakan oleh pihak yang memberi pinjaman itu," katanya.
Boon Chai berkata dia tidak dapat mencari Shu Chyi di Kuala Lumpur kerana tidak mengetahui alamat kediaman selain anak perempuannya itu juga tidak mempunyai ramai kawan, justeru dia dan keluarga membuat laporan polis kerana risau dengan keselamatan anaknya.
Dia juga berharap Shu Chyi dapat pulang segera dan berbincang dengan keluarga untuk menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.
-- BERNAMA