Bapa rayu anak perempuan 14 tahun pulang ke pangkuan keluarga

Bernama
Februari 29, 2024 06:30 MYT
Sofan Feroza merayu anak perempuannya yang berusia 14 tahun, Sofea Auni Adilah (gambar) untuk pulang ke pangkuan keluarga dengan segera. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Seorang bapa merayu anak perempuannya yang berusia 14 tahun yang dipercayai menghilangkan diri sejak dua hari lepas untuk pulang ke pangkuan keluarga dengan segera.
Sofan Feroza Mat Yusop, 45, berkata, anaknya, Sofea Auni Adilah telah keluar dari rumah bekas isterinya di Bandar Amanjaya, Sungai Petani kira-kira pukul 8.30 malam pada Selasa lepas.
"Anak saya dihantar ke rumah ibunya untuk menghabiskan cuti persekolahan dan tiada sebarang masalah atau perubahan tingkah laku yang berlaku. Kami sekeluarga baru pulang bercuti dari Thailand dan menyambut ulang tahun kelahirannya beberapa hari sebelum dia hilang.
"Saya menerima panggilan telefon dari bekas isteri yang memaklumkan bahawa anak tiada di rumah kira-kira pukul 8.50 malam sebelum bergegas ke Sungai Petani dari Alor Setar untuk mencari anak bersama bekas isteri," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, dia telah meminta bekas isterinya untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada pukul 2 pagi selepas panggilan yang dibuat ke telefon digunakan anaknya tidak berjawab.
"Kami sangat bimbang dengan keselamatan Sofea yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik. Saya juga tidak dapat tidur lena dan tiada selera makan sejak kehilangannya.
"Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat atau ternampak anak saya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Convents Alor Setar itu boleh menghubungi talian 019-5007303," katanya.
- BERNAMA
#bapa rayu #anak perempuan hilang #Bandar Amanjaya #Sofea Auni Adilah
;