Bapa OKU cekal hadapi dugaan, anak hidap kanser, van cari rezeki terbakar
Astro Awani
April 16, 2021 15:41 MYT
April 16, 2021 15:41 MYT
BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Keperitan seorang ketua keluarga yang diuji dengan pelbagai dugaan hidup dalam menyara isteri dan empat anaknya tidak dapat dibayangkan oleh sesiapapun, selagi kisahnya tidak didedahkan umum.
Melalui perkongsian seorang aktivis masyarakat, Natipah Abu, di laman sosial Facebook, bapa berusia 43 tahun itu merupakan seorang pemegang kad OKU fizikal. Semua itu berpunca daripada satu kemalangan jalan raya yang menimpanya.
Natipah menceritakan semula, sebelum ini, Mohd Buyamin Samsudin mencari rezeki dengan berniaga menjual air balang di pasar malam mahupun di majlis perkahwinan.
Bagaimanapun pada tahun 2018, kegigihan si bapa itu diuji apabila mendapat tahu bahawa anak keduanya yang berusia tiga tahun disahkan menghidap kanser darah dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Besar Pulau Pinang.
Malah, apabila pandemik melanda, Mohd Buyamin tidak dapat lagi menjual air balang di pasar malam atau di majlis perkahwinan.
Dia benar-benar terduduk kerana hilang satu-satunya sumber pendapatannya selain wang Elaun Pekerja Cacat (EPC JKM) RM450 sebulan.
Tidak mahu berserah pada takdir tanpa berusaha, Mohd Buyamin kemudian mengambil keputusan untuk berniaga air batu (ais) pula kepada peniaga-peniaga warung dan gerai makan dengan menggunakan van usangnya.
Pendapatannya sebagai penjual ais tidaklah seberapa. Ais dibeli secara tunai di kilang, namun kebanyakan pelanggannya berhutang pula apabila membeli daripadanya.
Dalam tempoh setahun menjual air batu ini, ada beberapa orang pelanggannya terpaksa tutup kedai dan gagal melunaskan hutang.
Susulan itu, mereka menyerahkan barang-barang yang ada di kedai makan mereka kepada Buyamin bagi melunaskan hutang, walaupun barang-barang itu tidak bernilai.
Ketika saat hendak bangkit ini jugalah, tiba-tiba dia diuji sekali lagi apabila satu-satunya van untuk mencari rezeki terbakar ketika dalam perjalanan menghantar ais kepada pelanggan.
Tidak berputus asa, dia menggunakan kereta buruknya pula untuk meneruskan urusan menghantar dan menjual ais walaupun kereta itu tidak boleh mengisi banyak beg ais.
Sekuat usahanya itu, masih belum cukup untuk memekarkan harapan baharu. apabila perniagaan menjual air batunya itu terhenti sekali lagi.
Dia kemudian berniaga air balang semula.
Apa yang menjadi kekangannya, dia tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk membaiki vannya semula.
Namun, dia bersyukur kerana tidak perlu menanggung kos sewa rumah kerana tinggal di rumah pusaka orang tuanya.
Justeru, kata Natipah, dengan program Sedekah Jumaat akan dapat mencukupkan anggaran jumlah kos yang diperlukan untuk memperbaiki semula van tersebut dan dapatlah beliau mencari rezeki buat keluarganya.
Mereka yang ingin membantu Mohd Buyamin untuk memperbaiki van niaganya boleh menyalurkan bantuan melalui program kebajikan seperti di Facebook Natipah Abu.