Bapa Muhammad Syafiq tak sempat lihat cucu lelaki pertama

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 6, 2020 13:33 MYT
Ahmad berkata, dia tidak menyangka Muhammad Syafiq yang terlibat dalam kemalangan kerana dia tidak tahu mereka dalam perjalanan ke rumah mertuanya di Kedah. - Astro AWANI
SUNGAI BAKAP: Hasrat bapa pemain JDT, Muhammad Syafiq Ahmad, untuk melihat cucu lelaki yang baru dilahirkan tidak kesampaian apabila bayi yang berusia 22 hari itu maut dalam kemalangan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Sungai Bakap, awal pagi tadi.
Ahmad Ibrahim, 56 tahun, berkata dia sedih kerana hanya dapat menatap jenazah cucu lelaki pertama, Muhammad Aisy Saqeef, namun redha dengan kejadian yang menimpa keluarga anaknya itu.
Katanya, mereka sekeluarga berhasrat melawat keluarga Muhammad Syafiq di Johor selepas dia dikurniakan cahaya mata 14 Nov lalu sebaik sahaja tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.
Ahmad berkata, mereka merancang untuk ke Johor pada 11 Dis tetapi terpaksa ditunda sekali lagi ke hujung bulan ini berikutan kawasan rumah di Bayan Baru dikenakan pula Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Bayi ini baru lahir, masih dalam pantang, baru 22 hari. Kami sekeluarga sebelah Syafiq tak sempat jumpa. (Mereka) mungkin hendak rehat, hendak hantar (pulang) ibu mertua, yang sebelum ini temankan masa kelahirannya.
"Memang kami sekeluarga sudah rancang, 11 hari bulan ini hendak pergi Johor tengok cucu yang ini. Kebetulan pula, dapat berita PKPB sambung. Jadi, kemungkinan nak pergi sana 24 hari bulan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap, di sini, hari ini.
Sementara itu, menceritakan mengenai kejadian yang menimpa penyerang JDT II itu, Ahmad berkata, dia menerima panggilan kira-kira jam 4 pagi tadi yang menyatakan anaknya itu terlibat dalam kemalangan dan memintanya segera ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, katanya, dia pada mulanya menyangkakan pemanggil itu tersalah orang dan menjelaskan kesemua anaknya berada di rumah kecuali Muhammad Syafiq yang berada di Johor.
Ahmad berkata, dia tidak menyangka Muhammad Syafiq yang terlibat dalam kemalangan kerana dia tidak tahu mereka dalam perjalanan ke rumah mertuanya di Pendang, Kedah.
Menurut Ahmad, selepas diyakinkan Muhammad Syafiq yang terlibat dalam kemalangan itu, dia bergegas ke lokasi kejadian namun semua mangsa sudah dibawa ke hospital.
BACA: Penyerang JDT, Syafiq Ahmad kemalangan, anak maut
Tambahnya, berdasarkan perbualannya dengan Muhammad Syafiq, anaknya yang memandu kereta jenis Toyota Velffire itu memaklumkan, dia cuba mengelak sesuatu yang melintas, menyebabkan kenderaannya terbabas dan merempuh pembahagi jalan.
"Saya dapat maklumat, Muhammad Syafiq mengelak sesuatu. Sesuatu melintas dan dia terkejut. Kejadian berlaku dalam sekelip mata," katanya.
Katanya, keadaan Muhammad Syafiq dan isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25 tahun, serta seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2 tahun, yang turut terlibat dalam kemalangan itu, dilaporkan stabil meskipun mengalami kecederaan.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, jenazah anak lelaki Muhammad Syafiq dan ibu mertuanya dijangka dikebumikan di Pendang.
#kemalangan #perintah kawalan pergerakan #Lebuhraya Utara Selatan #maut #PLUS #Muhammad Syafiq Ahmad #JDT #pemain bola sepak #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #Ahmad Ibrahim #Kedah #Pendang #Hospital Sungai Bakap #bapa #cucu #dalam pantang #bayi
;