Bapa muda didakwa rogol, amang seksual remaja perempuan bawah umur

Shuhada Abdul Kadir
Februari 14, 2023 13:58 MYT
Tertuduh Muhammad Eizhan Shah Abdullah berhadapan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan bawah umur, bulan lalu. - Foto Astro AWANI
AYER KEROH: Seorang bapa muda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan bawah umur, bulan lalu.
Tertuduh Muhammad Eizhan Shah Abdullah, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan dengan cara menyentuh anggota sulit remaja itu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan dibawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara antara 10 hingga 30 tahun dan juga sebatan atas dakwaan merogol remaja sama.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di bilik stor motor lif, sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Melaka Tengah kira-kira pukul 10 malam, 11 Januari 2023 lalu.
Difahamkan tertuduh dikatakan mengekori remaja perempuan itu sebelum bertindak menarik mangsa ke dalam bilik stor bagi melakukan perbuatan terkutuk berkenaan.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah untuk tidak membenarkan jaminan, bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jumlah RM50,000.
Tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia setahun itu merupakan penanggung tunggal keluarga.
Katanya, tertuduh juga sebelum ini bekerja sebagai pembantu di kedai peralatan logam, bagaimanapun telah diberhentikan sejak ditahan polis pada awal bulan lalu.
Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Hakim Elesabet pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 serta dilarang menganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 29 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.
#bapa muda #rogol bawah umur #amang seksual #stor PPR
;