Bapa mengaku tidak bersalah rogol anak hingga mengandung
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 27, 2017 15:10 MYT
Disember 27, 2017 15:10 MYT
Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown atas kesalahan merogol anak kandungnya berusia 15 tahun hingga hamil.
Tertuduh berusia 50 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya di kediaman mereka di Air Itam antara jam 9.45 malam hingga 12.30 pagi, pada 20 hingga 21 Disember lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun atau maksimum 10 sebatan.
Hakim kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pada 23 Disember lepas, tertuduh ditahan polis selepas ibu mangsa membuat laporan polis selepas mengesyaki perbuatan terkutuk lelaki itu.
Berdasarkan siasatan anak perempuannya berusia 15 tahun didapati telah mengandung dan mengaku telah melakukan hubungan seks dengan bapanya.
Siasatan mendapati mangsa anak kedua daripada tiga beradik tidak bersekolah.