Bapa mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual terhadap dua anak

Abd Razak Mohd Ali
Januari 19, 2021 11:33 MYT
Tertuduh diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Ipoh. -Astro AWANI
IPOH: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap dua anak perempuannya yang berusia enam dan sembilan tahun pada April tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 42 tahun membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Mohd Fauzi Mohd Nasir.
Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja di sebuah klinik kesihatan didakwa melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya yang berusia enam tahun di sebuah rumah di Lekir, Sitiawan pada jam 2.30 pagi, 10 April 2020.
Dia turut didakwa melakukan perbuatan sama terhadap anak perempuannya yang berusia sembilan tahun di lokasi sama di antara jam 8 dan 12 tengah malam pada April 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan di samping melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan dilarang mendekati mangsa.
Mahkamah turut menetapkan 25 Februari ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Asri Othman.
Mahkamah | Penjawat awam dituduh amang seksual dua anak
#amang seksual #Anak perempuan #klinik kesihatan di Manjung #penjawat awam #Lekir #Sitiawan #Mohd Fauzi Mohd Nasir #Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak
;